mutakhir

Lelaki mengamuk cuba tikam ibu dengan pisau

Oleh Nor Farhani Che Ad

PENGANGGUR ditahan reman empat hari mulai hari ini, selepas cuba mencederakan ibu kandungnya menggunakan pisau pemotong sayur di Taman Kenari, Kulim, semalam.

Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira 9 malam di lokasi sama sejurus ibunya, 50, membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, suspek sebelum itu dikatakan mengamuk dan cuba mencederakan mangsa.

"Dia kemudian mengambil pisau potong sayur dan cuba menikam wanita terbabit.

"Mangsa berjaya menyelamatkan diri dan datang ke balai polis untuk membuat laporan kerana bimbang keselamatan diri dan keluarganya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azhar berkata, polis turut merampas sebilah pisau panjang yang dipercayai digunakan suspek dan semakan mendapati dia mempunyai rekod jenayah lampau berkait dadah.

Menurutnya, dalam soal siasat suspek mengaku melakukan perbuatan itu dan dia kini direman empat hari untuk siasatan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah

Disiarkan pada: July 3, 2020 @ 3:09pm
d