mutakhir

Ramai setuju hukuman berat terhadap penganjur lumba haram

Oleh Amir Abd Hamid

SEBANYAK 84 peratus peserta soal selidik di Facebook (FB) Harian Metro bersetuju penganjur lumba haram wajar dikenakan tindakan Perintah Tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) seperti buang daerah.

Seramai 13,100 menyertai soal selidik itu dengan 84 peratus atau 11,004 bersetuju penganjur lumba haram dikenakan tindakan POCA manakala 16 peratus tidak bersetuju.

Pengguna FB, Hafiz Asyraf dalam komennya berkata, tindakan undang-undang yang berat perlu dikenakan bagi memastikan kegiatan lumba haram dapat dibanteras sepenuhnya.

Namun ada juga memberi pandangan berbeza.

Bagi Mohammad Fauzi Muhamad, tindakan itu tidak wajar kerana penganjur lumba haram yang dibuang daerah akan menganjurkan pula aktiviti sama di tempat lain.

"Nanti daerah lain pula menghadapi masalah sama," katanya.

Bagi pemilik akaun Dianna Julie Dusin pula mencadangkan alternatif hukuman umpamanya penganjur lumba haram dikenakan hukuman melakukan kerja khidmat masyarakat berbanding buang daerah.

Sementara itu di soal selidik di Twitter @hmetromy turut menunjukkan 89 peratus bersetuju supaya penganjur lumba haram dikenakan tindakan POCA manakala hanya 11 peratus tidak bersetuju.

Rabu lalu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman bercadang mengenakan tindakan mengikut POCA 1959 terhadap penganjur lumba haram.

Langkah itu dicadangkan selepas lumba haram dan memandu secara berbahaya dikesan semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias dilaporkan berkata, apabila POCA dikenakan, kegiatan lumba haram dijangka berkurangan disebabkan hukuman yang tegas dan berat dikenakan kepada penganjur.

Disiarkan pada: July 3, 2020 @ 3:56pm
d