mutakhir

Datin ditahan tipu pelaburan bitcoin RM388,090

Oleh BERNAMA

AHLI perniagaan wanita bergelar 'Datin' ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung penipuan pelaburan Bitcoin membabitkan kerugian RM388,090 di Bukit Jambul, Georgetown, Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Rosni Mohd Lazim berkata, wanita berumur 39 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan berhubung urusan pelaburan oleh seorang lelaki yang menjadi mangsa kegiatan itu.

"Menurut lelaki itu, dia menyertai pelaburan Bitcoin selepas wanita berkenaan yang juga kenalannya menjanjikan pulangan keuntungan sebanyak 30 peratus sebulan dan mangsa mula melabur sejak Jun 2016.

"Mangsa memindahkan wang sebanyak RM388,090 secara berperingkat ke akaun milik wanita itu, namun lelaki itu tidak mendapat keuntungan seperti yang dijanjikan dan membuat laporan polis," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu dan Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan 2003 kerana menerima deposit haram.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan sama ada terdapat individu lain yang turut menjadi mangsa wanita itu dan beliau turut meminta kerjasama orang yang pernah ditipu berhubung pelaburan itu agar tampil di balai polis.

Disiarkan pada: July 3, 2020 @ 4:32pm
d