mutakhir

Pesara didenda RM2,000 hantar komunikasi jelik terhadap Menteri Kesihatan

Oleh BERNAMA

SEORANG pesara dijatuhi hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik terhadap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba di laman Facebooknya.

Hakim M M Edwin Paramjothy menjatuhi hukuman itu ke atas Abdullah Sani Ahmad, 57, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan, dan dia boleh dikenakan hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Edwin berkata, mahkamah bersetuju dengan hujahan timbalan pendakwa raya, bahawa tertuduh perlulah lebih sensitif ketika membuat hantaran di laman sosial yang boleh dibaca oleh orang ramai.

Bagaimanapun, mengambil kira gaya bahasa kritikan yang bukan berniat jahat dan tidak keterlaluan, mahkamah menjatuhi hukuman denda RM2,000.

Tertuduh didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya terhadap Menteri Kesihatan dengan niat untuk menganiayai orang lain di dalam Facebook 'Sani Ahmad' pada 11.45 malam, 31 Mac lalu dan profil Facebook itu sudah dibaca di Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Putrajaya di sini, pada 8 pagi, 1 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan, selepas sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Annur Atiqah Abd Hadi memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran.

"Saya mohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada OKS dan orang awam agar lebih sensitif dan peka sebelum membuat apa-apa hantaran di media sosial," katanya.

Bagaimanapun, Abdullah Sani yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia telah insaf.

"Saya memohon supaya jatuh hukum pada hari ini kerana jarak perjalanan dari Jitra, Kedah ke Kuala Lumpur agak sukar untuk saya berulang alik.

"Ini kesalahan kali pertama dan saya berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama lagi," katanya.

Berdasarkan fakta kes, seorang pengadu yang berada di Pejabat KKM melayari internet dan terlihat satu komen yang dimuat naik oleh OKS iaitu pemilik akaun Facebook itu berkaitan Menteri Kesihatan, lalu pengadu membuat laporan polis.

Disiarkan pada: July 3, 2020 @ 4:33pm
d