mutakhir

Nilai semula projek PPM

Oleh Adnan Ibrahim

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan akan membuat penilaian semula Projek Pertanian Moden (PPM) bagi memastikan ia kekal relevan seiring dengan perkembangan teknologi terkini sektor pertanian.

Menterinya, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, objektif penubuhan PPM adalah sebagai model projek pertanian yang bukan sahaja berupaya membantu meningkatkan pengeluaran makanan negara tetapi juga menjadi perintis serta contoh kepada pengamalan pertanian secara baik dan moden dengan penggunaan teknologi tinggi dan terkini.

Katanya, sehingga kini seramai 27 peserta sedang menjalankan pelbagai aktiviti pertanian termasuk tanaman, ternakan, perikanan akuakultur dan agro pelancongan melalui penubuhan projek berkeluasan 3,653 hektar di Ayer Hitam dan Padang Hijau, Kluang.

"Dari 2016 sehingga 2019, purata jumlah pengeluaran PPM adalah sebanyak RM78.19 juta iaitu di bawah sasaran yang ditetapkan sebanyak RM100 juta nilai pengeluaran setahun.

"Untuk itu, pihak kementerian akan membuat penilaian semula terhadap projek ini bagi memastikan projek ini kekal relevan," katanya.

Ronald berkata demikian kepada media selepas lawatan kerja ke ladang Projek Pertanian Moden (PPM) di Jalan Kluang-Mersing, Kluang, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan veterinar Malaysia, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor dan Ketua Pengarah Eksekutif, DK Ternak Sdn Bhd, Datuk Raghu Raman Pillai.

Menurut Ronald, pembabitan setiap jabatan dan agensi serta syarikat secara serius amat penting bagi membangunkan PPM dan memastikan matlamat sebenar projek nasional itu dicapai.

"Ia juga secara tidak langsung membangunkan sub-sektor agro pelancongan supaya dapat menambah pendapatan negara untuk menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

"Selain itu, ia juga mewujudkan peluang perniagaan kepada penduduk tempatan di sekitar Kluang dan Ayer Hitam serta Negeri Johor amnya," katanya.

#kw PPM, pertanian, Ronald Kiandee, Kluang

Disiarkan pada: July 3, 2020 @ 5:00pm
d