mutakhir

Modal permulaan francais serendah RM50,000 [METROTV]

Oleh Mohd Roji Kawi

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang meneliti untuk mengurangkan modal permulaan bagi perniagaan francais serendah RM50,000.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, ia antara langkah yang diyakini mampu meningkatkan minat golongan muda untuk menjadi usahawan francais.

Justeru, katanya, KPDNHEP kini sedang mengumpul cadangan daripada pelbagai pihak khususnya usahawan yang terbabit dalam bidang itu untuk mengenal pasti perniagaan francais yang sesuai dimulakan dengan modal RM50,000.

"Berbanding modal permulaan ratus ribu ringgit, kini kita berusaha untuk mengurangkan modal permulaan pada kadar lebih rendah kerana percaya ia mampu menarik minat golongan muda untuk menyertai bidang keusahawanan terutamanya francais," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi Pocket Talk bersama pemain industri francais di Kuching, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Beliau berkata, pandangan daripada pemain industri francais akan dikumpul untuk diteliti seterusnya dimasukkan dalam Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional (PIPFN) 2021-2025.

"PIPFN 2021-2025 kini sedang dirangka bagi merancakkan lagi pertumbuhan industri francais negara.

"Kita mahu memperkasakan keusahawanan francais ini untuk membantu golongan muda kerana mereka tidak boleh berterusan mengharapkan pekerjaan dalam sektor awam," katanya.

Disiarkan pada: July 3, 2020 @ 6:21pm
d