mutakhir

Lelaki didenda jual pelitup muka tiruan

Oleh Samadi Ahmad

LELAKI didenda RM10,500 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini kerana menjual 35 kotak pelitup muka tiruan di Facebook.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, lelaki berkenaan akan berhadapan hukuman penjara selama empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda terbabit.

Menurutnya, lelaki berkenaan ditahan kerana memiliki pelitup muka berkenaan bagi tujuan perdagangan dengan perihal cap dagangan yang didaftarkan dengan salah pada 12.30 tengah hari, 29 Jun lalu di sebuah premis di Taman Saujana, Puchong.

Katanya, nilai rampasan barang kesd ianggarkan berjumlah RM1,575 dan laporan verifikasi mengesahkan pelitup muka yang dirampas adalah bukan keluaran pemilik berdaftar cap dagangan berkenaan.

"Dia didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 102(1)(ii) akta yang sama," katanya melalui kenyataan media di Putrajaya hari ini.

Iskandar berkata, KPDNHEP tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang bagi melindungi hak pengguna dan juga hak harta intelek industri.

Disiarkan pada: July 3, 2020 @ 7:33pm
d