mutakhir

Pasangan OKU lega, tidak perlu bayar RM500

Oleh Nazri Abu Bakar

TIDAK sampai 48 jam membuat rayuan agar tidak dikenakan kompaun RM500 kerana kesalahan membuang sampah secara tidak sengaja, pasangan orang kurang upaya (OKU) menerima berita gembira apabila tidak perlu mengeluarkan wang untuk membayarnya hari ini.

Abd Halim Hashim, 43, dan isterinya, Norhazaliza Daud, 36, yang mengalami cacat fizikal menerima khabar gembira itu selepas Penyelaras Japerun Durian Tunggal Datuk Ismail Ibrahim memaklumkan mereka tidak perlu membayar sesen pun kompaun berkenaan.

Norhazaliza berkata, dia gembira dan bersyukur dengan usaha yang dilakukan oleh Japerun berkenaan berikutan pendapatan bulanan mereka juga tidak sampai dengan jumlah berkenaan.

Katanya, dia mengakui amat terkejut menerima kompaun atas kesalahan yang dilakukan oleh anak sulungnya kerana tidak mampu untuk membayarnya berikutan suami dan dirinya hanya sekadar berniaga makanan ringan kecil-kecilan sahaja.

Sementara itu, Ismail berkata, pihaknya membuat surat rayuan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan untuk mendapatkan kadar pengurangan 50 peratus daripada kompaun yang dikenakan.

Menurutnya, dengan keprihatinan agensi terbabit selepas menerima rayuan berkenaan hanya mengenakan kadar kompaun sebanyak RM50 sahaja berikutan faktor keuzuran pasangan itu serta kedudukan kewangan mereka.

"Kami kemudiannya membayar kompaun terbabit bagi pihak pasangan itu berikutan keadaan mereka bersama dua anak berusia tujuh dan sembilan tahun yang agak menyedihkan di rumah sewa mereka.

"Mereka amat gembira dan bersyukur dengan berita ini sekali gus tidak perlu lagi memikirkan masalah kompaun yang diterima kerana ia sudah selesai.

"Dalam masa yang sama mereka berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan yang tidak disengajakan itu," katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, pihaknya akan berkunjung ke rumah pasangan itu untuk membantu menyediakan peralatan harian termasuk tilam baharu bagi keselesaan mereka.

Menurutnya, memang keadaan mereka agak menyedihkan dan pihaknya akan membantu apa yang perlu untuk kesejahteraan keluarga berkenaan termasuk berusaha mencari pekerjaan sesuai mengikut kemampuan fizikal mereka.

Selasa lalu, portal berita Harian Metro melaporkan pasangan OKU berkenaan menggunakan perkhidmatan e-hailing ke Japerun, Durian Tunggal untuk membuat rayuan pengurangan kompaun.

Mereka hadir bersama surat kompaun daripada PBT dengan mendakwa tidak mampu membayar sebanyak RM500 terbabit.

Kehadiran mereka itu menyebabkan Ismail segera meninjau keadaan mereka sekeluarga dan berjanji menyelesaikan isu berkenaan.

Berita berkaitan

'Kami tak mampu bayar RM500'

Disiarkan pada: July 3, 2020 @ 7:57pm
d