mutakhir

Pengundi Chini pilih ADUN esok [METROTV]

Oleh BERNAMA

ESOK adalah hari penting buat pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini bagi memilih siapa yang bakal menjadi suara mereka menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu, selepas 14 hari berkempen, pada ketika normal baharu perlu dilaksanakan berikutan ancaman pandemik Covid-19.

Seramai 20,816 pengundi bakal menunaikan tanggungjawab mereka di 13 pusat mengundi menerusi 65 saluran yang akan mula dibuka pada 8 pagi hingga 5.30 petang.

Proses penjumlah undi akan dilakukan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dekat sini, sebelum wakil rakyat baharu diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Datuk Zaliza Zulkipli yang dijangka pada sebelah malam.

Untuk PRK itu, 17 daripada 18 anggota polis telah melaksanakan tanggungjawab mereka pada pengundian awal Selasa lalu, selain Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan 156 kertas undi pos buat petugas pilihan raya.

PRK DUN Chini adalah pilihan raya kecil ke-11 selepas PRU14 dan merupakan yang pertama buat Perikatan Nasional (PN) selepas mengambil alih kepimpinan negara daripada PH pada Mac lalu.

Walaupun bahang PRK itu dilihat tidak sehangat pilihan raya sebelum ini, PRK DUN Chini tetap 'memiliki keistimewaannya' apabila mencatat sejarah kerana berlangsung dalam kebiasaan baharu ekoran wabak Covid-19 yang menyaksikan pelbagai perubahan diperkenalkan bagi memastikan tidak berlaku 'kluster pilihan raya.'

Sebagai contoh, SPR meminta supaya pengundi keluar mengikut masa cadangan pada Kad Pengundi yang telah dihantar dan tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir bagi memastikan tidak berlaku pengundi berkumpul dalam jumlah yang ramai di pusat mengundi bagi mematuhi aspek jarakan sosial.

Sebanyak 13 pusat mengundi yang dibuka ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Mambang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh Hinai, SK Kinchir, Dewan Mempelas Kampung Baru PPSK Salong, SK LKTP Chini Timur 1, SMK Chini Timur, Balai Raya Kampung Dusun, SK LKTP Chini Timur 2, SK LKTP Chini 3 dan 5, SK LKTP Chini 1 dan 4, Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Felda Chini 3, Sekolah Agama Rakyat (KAFA) Nur Ilham Felda Chini 1 dan SMK Chini 2.

Seramai 838 petugas pilihan raya akan bertugas esok manakala Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan telah memaklumkan lebih 700 anggota akan dikerahkan bagi memastikan kelancaran proses pengundian.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan (Survelan) Jabatan Kesihatan Pahang Dr Che Asiah Taib berkata sekurang-kurangnya tiga petugas kesihatan akan ditempatkan di setiap pusat mengundi dan terdapat kawasan khas bagi pengundi bergejala yang diwujudkan sebagai langkah berwaspada.

Pengundi yang menerima Kad Pengundi atau mengetahui maklumat pengundian juga boleh terus ke saluran mengundi dan tidak perlu membuat semakan di barung semakan SPR, selain diingatkan untuk mematuhi garis panduan pencegahan Covid-19 seperti memakai pelitup muka selain penggunaan cecair basmi kuman sepanjang berada di pusat mengundi.

Selain tiada pertembungan parti politik pada PRK kali ini apabila Pakatan Harapan tidak bertanding, situasi pandemik juga menyebabkan kempen PRK DUN Chini berlangsung dalam 'keadaan serba sederhana' termasuk jumlah hadirin yang terhad kepada 250 orang sahaja bagi ceramah selain tiada aktiviti bersentuhan atau bersalaman dibenarkan.

PRK DUN Chini menyaksikan Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan generasi kedua Felda Chini, Mohd Sharim Md Zain, 41, untuk mempertahan kerusi DUN itu dalam pertandingan tiga penjuru dengan dua calon Bebas iaitu ahli perniagaan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, yang merupakan penulis blog.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung pada 7 Mei lepas. Abu Bakar merupakan penyandang kerusi DUN Chini sejak Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU-11) pada 2004.

Pada PRU-14 lalu, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain daripada PKR (1,065).

  • Lagi berita berkaitan PRK DUN Chini
  • Disiarkan pada: July 3, 2020 @ 8:25pm
    d