mutakhir

84 Pati ditahan di kawasan paya bakau

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

KEGEMBIRAAN 84 warga Indonesia untuk pulang ke kampung halaman tidak berpanjangan selepas mereka ditahan sepasukan polis di kawasan paya bakau di Tambak Jawa, Jeram, Kuala Selangor, awal pagi ini.

Semua pendatang asing tanpa izin (Pati) masing-masing berusia 19 hingga 60 tahun itu dipercayai sedang menunggu sebuah bot untuk membawa mereka menyeberangi sempadan negara jam 2.30 pagi.

Sumber berkata, serbuan itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih menerusi Ops Benteng di kawasan berkenaan.

Katanya, hasil risikan dan maklumat yang diperoleh, polis menjalankan intipan di lokasi kejadian sebelum mengesan sekumpulan individu dalam keadaan mencurigakan sedang menyorok di kawasan paya bakau.

"Ketika ditahan, semua warga asing masing-masing 67 lelaki dan 17 wanita itu tidak sempat meloloskan diri kerana keadaan geografi kawasan yang menyukarkan mereka bergerak.

"Hasil maklumat yang diperoleh daripada warga asing yang ditahan, mereka sedang menunggu bot dibawa pulang ke Tanjung Balai, Indonesia menggunakan laluan yang tidak diwartakan kerajaan," katanya, hari ini.

Beliau berkata, seramai 22 warga asing didapati 'kosong' kerana tidak memiliki pasport namun mereka yang memiliki pasport masih mahu menggunakan laluan tidak diwartakan dipercayai kerana dokumen perjalanan sudah tamat tempoh.

Beliau berkata, semua warga asing terbabit kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen dan siasatan lanjut bagi mengenal pasti dalang sedang giat dijalankan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan penahanan warga asing terbabit dan berkata siasatan lanjut sedang giat dijalankan.

Menurutnya, polis akan terus memastikan sempadan negara tidak dibolosi dan berharap maklumat lanjut dapat dikongsi masyarakat sekiranya mengesan kehadiran warga asing dalam jumlah yang besar dan mencurigakan.

Disiarkan pada: July 3, 2020 @ 9:07pm
d