mutakhir

3 kereta hangus

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

KEBAKARAN tiga kereta berhampiran apartmen di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, hari ini sedang disiasat polis.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 1.27 pagi.

"Sebaik pihak polis tiba di lokasi mendapati tiga kereta yang terbakar itu tidak mempunyai nombor pendaftaran.

"Ketiga-tiga model kereta itu dikenal pasti sebagai Mercedes Benz warna perak, Perodua Axia warna biru kelabu dan Perodua Myvi warna kelabu," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Shanmugamoorthy berkata, tiga kenderaan itu terbakar sepenuhnya dalam kejadian berkenaan.

"Siasatan mendapati tiada saksi di lokasi ketika kejadian. Sepanjang jalan di lokasi kejadian dalam keadaan cerah dan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).

"Semua pemilik kenderaan berkenaan masih belum dikenal pasti dan anggaran kerugian belum diketahui," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dilakukan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Disiarkan pada: July 4, 2020 @ 11:45am
d