mutakhir

Semangat warga emas keluar mengundi

Oleh BERNAMA

SEDAR tentang risiko wabak Covid-19, namun ia bukan halangan buat golongan warga emas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini untuk keluar menunaikan tanggungjawab mengundi wakil rakyat baharu mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu, hari ini.

Antara pengundi tertua di DUN Chini, Chik Ibrahim, 97, bersama isterinya Ramlah Abdullah, 85, mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chini 2, Pekan.

Walaupun pergerakan mereka agak terbatas disebabkan faktor usia, mereka tetap bersemangat dengan tiba pada 8.45 pagi.

Chik berkata, dia dan isterinya datang ke pusat mengundi berkenaan dengan kenderaan yang disediakan parti politik, yang turut menghantarnya pulang ke kediamannya di Felda Chini 2.

"Saya dan isteri sangat bersemangat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia, di mana kami bersiap seawal 7 pagi," katanya ketika ditemui Bernama di pusat mengundi berkenaan.

Katanya, keadaan di pusat mengundi juga sesuai bagi warga emas kerana disediakan 'buggy' bagi membawa pengundi ke dalam kawasan sekolah dan kemudahan kerusi roda, selain dijalankan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi membendung wabak Covid-19.

Warga emas lain Khaziah Hussain, 68, dari Felda Chini 2, turut bersemangat keluar mengundi pada hari ini, meskipun mengalami sakit di bahagian lutut.

"Hari ini saya datang mengundi di sini dengan dihantar oleh anak saya walaupun tidak sihat sedikit. Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) banyak membantu bagi mengundi pada hari ini.

"Saya tidak berasa risau untuk keluar mengundi, meskipun wabak Covid-19 masih wujud kerana percaya dengan keberkesanan SOP yang dilaksanakan," katanya.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Ia adalah PRK pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lalu dengan beberapa SOP diperkenalkan termasuk saluran khusus bagi pengundi berusia 60 tahun ke atas.

  • Lagi berita berkaitan PRK DUN Chini
  • Disiarkan pada: July 4, 2020 @ 2:24pm
    d