mutakhir

Nak sangat uji kehebatan kereta

Oleh Siti Rohana Idris

MEKANIK dan kelindan lori ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam aktiviti menguji kelajuan Proton Satria di Jalan Pasir Tumboh, Kota Bharu, semalam, tanpa kebenaran.

Kelindan lori berusia 27 tahun ditahan di Jalan Pasir Tumboh jam 2.45 pagi semalam manakala seorang lagi berusia 29 tahun ditahan di rumahnya di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, empat jam selepas itu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, semasa menjalankan Ops Samseng Jalanan, anggota terlihat dua Proton Satria berhenti secara bersebelahan antara satu sama lain serta menderukan bunyi enjin disyaki hendak menduga kelajuan masing-masing.

Beliau berkata, selepas itu kedua-dua kenderaan terbabit memecut laju dengan cara melulu dan merbahaya diri sendiri serta pengguna jalan raya lain dari pusingan U Pasir Tumboh menghala ke lampu isyarat Limbat secara berulang-alik sebanyak tiga kali pusingan.

"Anggota kami mengekori kedua kenderaan itu dan membuat pengecaman seterusnya memerhatikan suspek dalam jarak yang dekat serta pada masa sama dua anggota lain berada di kiri jalan hadapan premis makanan segera di Pasir Tumboh menghala ke Limbat bertindak merakam video melalui telefon bimbit.

"Lebih kurang jam 2.45 pagi, kedua-dua lelaki berkenaan memberhentikan kenderaan di bahu jalan menghala ke Limbat sebelum anggota kami memperkenalkan diri.

"Seorang daripada pemandu melarikan diri dengan memecut keretanya manakala seorang lagi berjaya ditahan di lokasi," katanya ketika dihubungi, hari ini

Abdul Rahim berkata, hasil dari maklumat diperoleh, lelaki yang melarikan diri berjaya dikesan alamatnya sebelum anggota polis menahan di kediaman pada 6.30 pagi semalam.

Menurutnya lagi, hasil ujian saringan yang dijalankan mendapati kedua suspek adalah negatif dadah dan ditahan reman selama empat hari bermula semalam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Disiarkan pada: July 4, 2020 @ 2:34pm
d