mutakhir

Hasil hutan RM21,000 dirampas

Oleh Zaid Salim

JABATAN Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) merampas 179 tual balak dan jaras bernilai RM21,000 yang ditebang secara haram di Kampung Pasir Semut, Chukai.

Rampasan itu dibuat sepasukan anggota JPNT ketika melakukan rondaan di kawasan berkenaan pada 1 tengah hari kelmarin.

Pengarahnya Muhamad Abdullah berkata, tual balak dan jaras berkualiti dari spesis nyatoh, kelampaian dan pulai itu ditemui dalam satu longgokan di kawasan berkenaan.

"Pencerobohan hutan seluas dua hektar itu menyebabkan kawasan berkenaan menjadi lapang dipercayai untuk dijadikan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) oleh penduduk sekitar.

"Melihat pada kesan tebangan, pencerobohan itu dipercayai dilakukan secara berperingkat sejak dua bulan lalu," katanya, hari ini.

Katanya, kegiatan menebang pokok di atas tanah kerajaan untuk projek RTB kini semakin berleluasa dan pihaknya akan meningkatkan rondaan bagi mengekang aktiviti haram itu.

"Kita akan tingkatkan pemantauan di semua kawasan 'hotspot' merangkumi Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan tanah kerajaan yang kini dilihat semakin serius," katanya.

Katanya, semua hasil rampasan disita untuk siasatan mengikut Seksyen 15 (1), Akta Perhutanan Negara 1984 (Penerimaan-pakai) 1986.

Disiarkan pada: July 4, 2020 @ 4:31pm
d