mutakhir

Kes Adib: Tunggu arahan peguam negara

Oleh BERNAMA

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan, siasatan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim masih diteruskan dan akan memanggil semula saksi berkaitan selepas mendapat arahan daripada Jabatan Peguam Negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, sebelum ini, pihaknya sudah menghantar kertas siasatan kes itu kepada Jabatan Peguam Negara namun pihaknya diminta memperkemaskan lagi siasatan itu.

"Inilah yang sedang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), sebelum ini saya dapati tindakan yang sudah dijalankan begitu tersusun dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) siasatan.

"Saya beri jaminan, semua sudut kes ini akan disiasat sepenuhnya dan tidak akan menyembunyikan apa-apa fakta yang berkaitan dengannya," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, supaya polis memanggil semula semua saksi dalam kes kematian anggota bomba itu bagi mengheret pelaku sebenar jenayah terbabit ke muka pengadilan.

Abdul Hamid berkata, pihaknya berdepan isu teknikal dan proses memburu saksi yang menjadi antara punca kes itu mengambil masa lama.

"Ada maklumat diterima tidak tepat dan tidak mendalam, ia sedikit sebanyak memperlahankan tindakan polis," katanya.

Rabu lalu, Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed mengesahkan pihaknya akan menyelesaikan segala tindakan dan arahan pihak pendakwa raya berhubung kes itu dalam waktu terdekat.

"Kita akan selesaikannya dalam tempoh terdekat ini dan akan berbincang semula dengan pihak peguam negara untuk tindakan seterusnya," katanya.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Muhammad Adib disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari menerima rawatan.

Pada 27 September tahun lalu, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib, yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan itu, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Disiarkan pada: July 4, 2020 @ 4:55pm
d