mutakhir

Terperosok masuk ke dalam kereta

Oleh Siti Rohana Idris

WARGA emas maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Jalan Kampung Bunut Sarang Burung, Tumpat, pagi tadi.

Dalam kejadian 8.40 pagi itu, mangsa, Md Yusuf Abdullah, 63, yang menunggang Honda Wave meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan selepas dilanggar Perodua Kancil.

Lebih menyayat hati, rempuhan kuat mengakibatkan mangsa terperosok sehingga masuk ke dalam kenderaan itu.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, kemalangan berlaku semasa mangsa dari Kampung Kubang Raja keluar dari lorong untuk masuk ke jalan utama.

"Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu Perodua Kancil yang melalui jalan utama tidak sempat mengelak dan terus merempuh mangsa.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ab Rashid berkata, pemandu kereta yang berusia 38 tahun hanya mengalami cedera ringan di dahi dan mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tumpat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: July 4, 2020 @ 6:46pm
d