mutakhir

Covid-19: Kluster Pudu tamat hari ini

Oleh Rafidah Mat Ruzki

KLUSTER Pudu, iaitu kluster kediaman di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mula dikesan daripada saringan pekerja di sebuah tapak pembinaan pada 10 Mei lalu, diisytiharkan tamat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster ini mempunyai 80 kes positif Covid-19 selepas seramai 3,387 individu disaring sehingga semalam, dengan kadar positif 2.36 peratus.

"Kes positif Covid-19 pertama dalam kluster itu dikesan pada 10 Mei lalu, susulan saringan yang dijalankan terhadap pekerja, atas inisiatif majikan syarikat terbabit.

"Kes positif kluster ini membabitkan 97.5 peratus bukan warga Malaysia, iaitu 69 Bangladesh; tujuh warga Myanmar; dua warga Indonesia; dan dua warga Malaysia.

"Kawalan pentadbiran dilaksanakan di kawasan kluster ini dengan bantuan pelbagai agensi lain bagi menjalankan aktiviti pengesanan kes secara aktif, seterusnya langkah pembendungan penularan jangkitan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, hasil siasatan mendapati penginapan sesak dan mempunyai ruang yang sempit menjadi faktor penyumbang kepada penularan jangkitan Covid-19 dalam kluster itu.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan tiada amalan penjarakan sosial yang selamat dalam kalangan mereka yang dikesan positif.

Katanya, KKM juga mengucapkan syabas kepada semua pihak yang memberikan perkhidmatan masing-masing dalam segala aktiviti berkaitan kluster terbabit.

Pada 15 Mei lalu, media melaporkan Jalan Pasar Pudu, di Kuala Lumpur mula dikawal ketat dan dipasang pagar kawat duri sekali gus menjadikannya seperti Jalan Raja Bot, Chow Kit, yang sebelum itu diisytiharkan sebagai kawasan yang diperketatkan kawalan secara pentadbiran.

Selain itu, ribuan penduduk di kawasan sekitar Jalan Pudu membabitkan Jalan Landak, Jalan Pasar dan Jalan Brunei, diarahkan menjalani pemeriksaan yang dilakukan oleh kakitangan KKM.

Rata-rata individu yang diperiksa adalah mereka yang mendiami rumah kedai lima tingkat di sekitar kawasan itu dengan sebahagian besar daripada mereka adalah warga asing.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 4, 2020 @ 7:02pm
    d