mutakhir

Wanita digesa manfaatkan insentif PENJANA

Oleh Rafiqah Dahali

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggesa golongan wanita untuk memanfaatkan insentif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA).

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata melalui pelan itu disediakan beberapa bantuan khas untuk beberapa golongan.

"Untuk usahawan wanita yang terjejas pendapatan, PENJANA menyediakan pembiayaan mikrokredit sebanyak RM50 juta.

"Jadi saya mengharapkan wanita ambil peluang ini untuk memajukan perniagaan masing-masing di samping dapat membantu memberi peluang kepada mereka yang tidak mempunyai pekerjaan.

"Selain itu, bagi wanita yang aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO), PENJANA turut menyediakan insentif berjumlah RM5 juta yang diperuntukkan kepada NGO berteraskan pembangunan wanita keluarga dan masyarakat yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Sesi Interaksi Bersama Peserta Program Jelajah Penerangan Inisiatif PENJANA KPWKM bertempat di Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu, petang tadi.

Dalam pada itu, Rina berkata PENJANA juga menyediakan bantuan khas 'one-off' sebanyak RM300 kepada ibu tunggal yang mendaftar dengan KPWKM.

"Bantuan khas kepada sukarelawan wanita juga turut tidak ketinggalan diperuntukkan dalam PENJANA.

"Sebanyak RM300 juga diberikan secara 'one-off' untuk 2,000 individu yang menyertai program itu untuk membantu warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.

Menurutnya, PENJANA juga menyediakan bantuan 'one-off' RM300 kepada 190,000 golongan OKU yang menerima bantuan bulanan.

"Ini adalah bantuan tambahan untuk penerima Elaun Pekerja Cacat (EPC), Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) dan Bantuan Penjagaan OKU Terlantar atau Pesakit Terlantar (BPT)," katanya.

Rina turut memperincikan PENJANA juga menyediakan bantuan 'one-off' sebanyak RM1,500 kepada pengusaha taska di rumah dan RM5,000 bagi taska di tempat kerja

serta institusi.

"Sebanyak RM900 diperuntukkan untuk setiap peserta yang menyertai Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata (KAP)," katanya.

Permohonan bantuan khas ini boleh mula dibuat dalam laman sesawang rasmi Jabatan Pembangunan Wanita sebelum tarikh tutup pada 31 Oktober ini.

Disiarkan pada: July 4, 2020 @ 7:35pm
d