mutakhir

Pelajar perempuan dicabul tukang kebun

Oleh Rosli Ilham

SEORANG pelajar perempuan di sebuah asrama sekolah menengah di Kemaman dicabul seorang tukang kebun sekolah itu, semalam.

Pelajar Tingkatan Lima terbabit dicabul suspek pada bahagian pahanya, kira-kira 3 pagi, ketika tidur di asrama sekolah itu bersama dua rakannya.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, ketika kejadian, seorang daripada pelajar terbabit ternampak kelibat seorang lelaki berada di bawah salah satu katil di bilik berkenaan.

Beliau berkata, suspek yang bertopeng keluar dari bawah katil terbabit sebelum menghampiri seorang daripada pelajar terbabit.

Menurutnya, suspek kemudiannya meminta telefon bimbit pelajar itu sebelum bertindak meraba seorang daripada pelajar terbabit.

"Suspek mendakwa dia ada membawa pisau dan mengugut kesemua mangsa supaya tidak membuat bising.

"Seorang daripada mangsa menjerit meminta tolong dan berjaya melarikan diri, "katanya ketika dihubungi.

Hanyan berkata, berikutan tindakan seorang mangsa yang berjaya menyelamatkan diri itu menyebabkan suspek terus melarikan diri dan keluar dari asrama terbabit.

"Warden asrama yang dimaklumkan kejadian itu bergegas ke asrama terbabit sebelum meminta bantuan seorang warden lelaki.

"Warden lelaki yang menjalankan siasatan mendapati pagar asrama di dipotong dan sebilah pisau turut ditemui di bawah katil yang mana tempat suspek bersembunyi, "katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa ternampak sebahagian muka suspek yang berambut pendek, berbadan agak gempal, memakai sarung tangan dan berusia lingkungan 30-an.

"Bertindak atas laporan itu, polis kemudiannya berjaya menahan seorang tukang kebun sekolah terbabit yang berusia 32 tahun.

"Polis merampas sarung tangan kebun, topeng muka termasuk pakaian suspek serta telefon bimbit suspek," katanya.

Katanya, hasil soal siasat yang dijalankan, suspek mengaku melakukan jenayah dalam kejadian itu.

"Kes disiasat mengikut seksyen 448 Kanun Keseksaan serta seksyen 14 (A) Akta Seksual Kanak-Kanak 2017," katanya.

Disiarkan pada: July 5, 2020 @ 12:23am
d