mutakhir

Covid-19: Jangan cepat leka dengan kejayaan awal

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

RAKYAT jangan cepat leka dengan kejayaan awal negara mendepani penularan wabak Covid-19.

Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Am, Dr Hanafiah Bashirun berkata, masyarakat juga dinasihat tidak terlalu selesa dengan penurunan kes wabak itu di negara ini kerana kemungkinan besar gelombang kedua boleh berlaku pada bila-bila masa.

Katanya, jika ada pihak yang mengambil sikap sambil lewa terhadap normal baharu yang disarankan kerajaan, tidak mustahil penularan wabak itu kembali melonjak.

Menurutnya, rakyat perlu bersedia untuk 'hidup' bersama Covid-19 selain menjadikan prosedur operasi standard (SOP) sebagai kebiasaan baharu boleh memastikan Malaysia kekal sifar kes jangkitan tempatan pandemik maut itu.

"Kadar kepatuhan yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia terbukti apabila kes jangkitan semakin menurun malah mencatatkan angka sifar beberapa hari lalu.

"Kejayaan awal ini perlu dikekalkan kerana ia mampu memastikan Malaysia bebas lebih awal daripada virus maut itu di saat masih ada negara yang merekodkan peningkatan berskala besar kes jangkitan.

"SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain kerjasama antara kementerian dan agensi lain termasuk kepatuhan tinggi rakyat Malaysia terbukti berjaya membawa Malaysia terus turun dalam carta angka jangkitan berbanding negara lain.

"Namun jangan kita cepat leka dengan kejayaan awal ini," katanya kepada Harian Metro.

Malaysia buat pertama kalinya pada 1 Julai lalu mencatatkan sejarah apabila tiada kes jangkitan tempatan dilaporkan dan kejayaan itu diharap dapat dikekalkan dalam tempoh 28 hari akan datang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah meluahkan keyakinan kes sifar dapat dikekalkan dengan kerjasama semua pihak yang memainkan peranan khususnya melaksanakan kelaziman baharu yang ditetapkan kerajaan.

Dalam pada itu, Dr Hanafiah berkata, keputusan KKM untuk melaksanakan saringan secara bersasar tepat pada masanya kerana kes jangkitan yang semakin rendah selain boleh memfokuskan golongan sasar seperti penempatan warga asing.

Katanya, golongan itu perlu dipantau lebih ketat kerana mereka tinggal di kawasan yang padat seperti rumah kongsi sehingga membolehkan jangkitan wabak berlaku dengan lebih mudah.

"Keputusan ini tepat (saringan golongan bersasar) kerana bukan saja lebih mudah dipantau malah ia juga satu adalah langkah penjimatan jangka panjang kerana kos saringan juga agak tinggi jika ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan," katanya.

Disiarkan pada: July 5, 2020 @ 3:07pm
d