mutakhir

Rupanya bawa 800 pil kuda...

Oleh Syaherah Mustafa

TINDAKAN seorang lelaki yang memandu kereta jenis Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan seawal jam 6 pagi membawa kepada penemuan 800 pil kuda bernilai RM8,000.

Ia hasil rondaan Batalion 7, Pasukan Gerakan Am (PGA7) yang mengekori kenderaan itu yang dipandu dari Rantau Panjang ke Jeram Perdah, pagi ini.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, berkata anggotanya mengekori kereta itu sehingga ke lorong hadapan sebuah rumah di Kampung Lubok Gong.

Bagaimanapun, katanya, sebaik menyedari kehadiran anggotanya, pemandu itu bertindak melarikan diri ke bahagian semak belakang rumah dan meninggalkan keretanya.

"Anggota terus mencari suspek namun dia gagal dikesan. Hasil pemeriksaan di dalam kereta, anggota menemui semua pil kuda di dalam botol tertutup di bahagian depan penumpang hadapan.

"Hasil maklumat risikan, suspek dipercayai memperolehi bekalan dadah dari negara jiran, Thailand selain melarikan diri ke sana melalui Pengkalan Haram Lubok Gong.

"Kesemua barangan yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Azhari berkata, selain itu, pihaknya turut merampas Perodua Myvi terbabit yang bernilai RM15,000.

"PGA7 terus komited dan memberi komitmen terbaik dalam membanteras ketirisan penyeludupan terutama di sepanjang kawasan sempadan agar ia tidak terus berleluasa.

"Selain itu, usaha keras anggota juga harus dipuji kerana telah menunjukkan prestasi terbaik dalam Operasi Benteng Covid-19 kali ini, selain gigih menggalas tanggungjawab walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Kerjasama baik dengan agensi keselamatan lain juga banyak membantu PGA7 dalam melancarkan penugasan kami demi keselamatan masyarakat, bangsa dan negara," katanya.

Disiarkan pada: July 5, 2020 @ 3:11pm
d