mutakhir

Perlu RM7.3 bilion atasi masalah air, banjir di Kelantan

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air (KASA) memerlukan RM7.3 bilion untuk melaksanakan beberapa projek bagi menyelesaikan masalah banjir dan bekalan air secara holistik di Kelantan.

Menterinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, menerusi projek berkenaan, ia mampu menyelesaikan masalah bekalan air di negeri itu sehingga 40 tahun akan datang.

Menurutnya, pihaknya akan memohon peruntukan kepada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri bagi membolehkan peruntukan berkenaan dimasukkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"Jumlah peruntukan itu membabitkan beberapa projek besar termasuk Projek Tebatan Banjir yang mempunyai tiga fasa iaitu di Tumpat, Rantau Panjang dan Pasir Mas.

"Selain itu, projek pembentungan bersepadu di Tunjung membabitkan peruntukan RM600 juta sudah diluluskan serta lain-lain projek untuk masalah banjir dan bekalan air.

"Ada sebahagian projek sudah berjalan seperti projek tebatan banjir bagi fasa satu yang dijadualkan siap pada Oktober nanti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Kelantan, hari ini. Yang turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, masalah bekalan air negeri itu memerlukan penggantian paip bagi mengurangkan kehilangan air tidak terhasil (NRW).

Sementara itu, Ahmad berterima kasih kepada KASA yang prihatin dengan nasib Kelantan dengan membantu menyelesaikan masalah bekalan air dan banjir.

Disiarkan pada: July 5, 2020 @ 4:34pm
d