mutakhir

'Dalam 'badak' ada gula kelapa, sangat sedap'

Oleh BERNAMA

"DALAM badak itu ada gula kelapa, sangat sedap. Boleh buat kita ketagih. Bila saya buat (badak berendam) saya akan letak banyak gula kelapa di dalam dan makan tak henti sampai saya pun jadi badak"

Reaksi spontan yang comel oleh pasangan Youtuber dari Jepun, Jimmy dan IChang menikmati makanan Malaysia selalu mencuri hati penonton terutama di saluran YouTube mereka yang kini mencecah lebih 132,000 pengikut.

Jimmy atau nama penuhnya Yusuke Nishida berkata dia dan isterinya, Ai Nishida yang lebih mesra dengan panggilan IChang, mula mengenali kuih tradisional yang popular di Pantai Timur Malaysia itu selepas dicadangkan seorang daripada pengikut di media sosial mereka.

Pasangan suami isteri yang kini menetap di Hong Kong itu dan sangat menggemari masakan serta makanan Malaysia berusaha untuk menghasilkan sendiri kuih itu sehingga mereka mengaku ketagih dengannya.

Selain kuih tradisi itu yang kini menjadi antara pencuci mulut utama mereka, pasangan itu juga mencuba pelbagai masakan lain seperti kari ayam dan asam laksa walaupun mengakui sukar untuk mendapatkan bahan asas seperti rempah dan bunga kesum di Hong Kong.

"Kami tidak mempunyai banyak pilihan rempah kari di sini. Kami perlu pergi ke kedai yang khusus menjual rempah untuk membuat pilihan rempah kari dan herba.

"Kami mula cuba untuk membuat rempah kari kami sendiri menggunakan lesung batu yang kami ada," katanya ketika ditemubual untuk rancangan Cer Fikir.

Melihat kesungguhan mereka memasak makanan Malaysia sehingga sanggup mencari daun pisang serta makan menggunakan tangan demi mendapat pengalaman sebenar adalah suatu usaha yang sangat mengagumkan.

Malah pasangan ini turut mencuba resipi kari Sugu Pavitra selepas menonton video masakan atlet bina badan negara, Sazali Samad yang mencuba resipi itu.

Jimmy berkata, mereka sangat tertarik dengan video yang dihasilkan oleh Sugu Pavithra kerana ia sangat bersahaja dan menggunakan alatan memasak asas serta mudah didapati seperti kuali dan periuk.

"Cara dia bercakap kami senang faham dan ikut sewaktu menonton video dia. Kalau ada yang tidak faham kami akan (terjemah menggunakan) Google Translate supaya kami dapat faham apa yang dimaksudkan," katanya.

Selain daripada memasak, Jimmy dan isterinya turut dapat mempelajari perkataan dalam Bahasa Melayu seperti garam, daging, bawang putih ketika memasak.

"Tidak susah untuk kami belajar kerana cara menyebut perkataan itu agak sama dengan bahasa Jepun.

"Sangat jelas, senang untuk kami dengar dan faham macam garam. Kami sedang berusaha untuk memahami lebih banyak perkataan Bahasa Melayu," katanya.

Mereka yang sudah 10 kali bercuti di Malaysia sejak tahun lalu juga mengakui jatuh cinta dengan makanan negara ini sejak kali pertama ke sini.

"Kami sudah ke Pulau Pinang dan buat pertama kali kami mencuba durian. Pada waktu itu kami mencuba Musang King dan D24. Kami dapat tahu ada pelbagai jenis durian. Kami jatuh hati dengan durian!

"Selain itu kami juga ke Melaka, Kota Kinabalu dan Johor untuk mencuba lebih banyak makanan dan masakan tempatan termasuk makanan di gerai tepi jalan," katanya yang turut menggemari nasi kandar.

Cinta mereka terhadap makanan dan budaya Malaysia terbukti apabila pasangan itu tidak sabar untuk kembali semula selepas berakhirnya pandemik Covid-19.

"Semoga keadaan menjadi baik semula tidak lama lagi untuk kita, supaya kami dapat ke sana untuk menikmati makanan. Kami sangat rindukan Malaysia"

Disiarkan pada: July 5, 2020 @ 5:04pm
d