mutakhir

Covid-19: Dua lagi kluster tamat

Oleh Amir Abd Hamid

DUA lagi kluster berkaitan tempat kediaman di Selangor dan Kuala Lumpur, iaitu Kluster Gombak serta Kluster Pangsapuri Cheras sudah ditamatkan.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan yang diisytiharkan tamat setakat ini adalah 56 kluster.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Gombak yang dilaporkan 18 Mei lalu adalah hasil daripada aktiviti pengesanan kes secara aktif kes positif Covid-19 di sebuah kuarters kediaman di Gombak.

"Sehingga semalam, seramai 200 individu di Kluster Gombak sudah disaring dan lima kes positif Covid-19, yang semuanya membabitkan warga negara.

"Kluster Pangsapuri Cheras pula dilaporkan pada 1 Jun lalu hasil daripada aktiviti pengesanan secara kes aktif kes positif Covid-19 di sebuah pangsapuri di Cheras.

"Sehingga semalam, seramai 144 individu disaring dan didapati lapan kes positif Covid-19," katanya dalam kenyataan media mengenai perkembangan Covid-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kluster ini membabitkan satu kes positif warga Indonesia iaitu daripada tiga bukan warga negara yang disaring, dan selebihnya warga negara Malaysia.

Mengulas lanjut, katanya, kes pertama bagi kedua-dua kluster dikesan hasil saringan pelajar pusat tahfiz/maahad yang juga kumpulan sasar dikenal pasti berisiko tinggi.

"Ini adalah pendekatan tertumpu yang setakat ini membantu mengesan banyak kes Covid-19. Sukacita dimaklumkan, daripada siasatan dijalankan, didapati tiada kes positif Covid-19 yang lain daripada kedua-dua pusat tahfiz/maahad yang terbabit.

"KKM ingin mengucapkan syabas kepada semua pihak yang bekerjasama memberikan perkhidmatan masing-masing dalam segala aktiviti pengesanan kes dan langkah pembendungan penularan jangkitan berkaitan kluster ini," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pihak KKM menyeru orang ramai terus kekal berwaspada dan amalkan nasihat kesihatan yang disarankan iaitu elakkan kawasan sesak, sempit dan mengelak bersembang atau bertutur dengan jarak dekat.

Katanya, orang ramai dinasihatkan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, sangat digalakkan memakai pelitup muka di tempat awam atau jika bergejala.

"Orang ramai juga dinasihatkan elak bersalaman atau bersentuhan, amalkan etika batuk dan bersin, dapatkan rawatan segera jika bergejala, duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung.

"Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh. Selain itu, ingatlah syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan," katanya.

Beliau berkata, KKM juga menasihatkan supaya penjarakan sosial diamalkan setiap masa iaitu sekurang-kurangnya satu meter.

Menurutnya, pihak KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara dan juga luar negara melalui maklumat yang diperoleh daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 5, 2020 @ 6:09pm
    d