mutakhir

Covid-19: Kluster Gombak, Kluster Pangsapuri Cheras ditamatkan

Oleh Amir Abd Hamid

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menamatkan dua lagi kluster berkaitan tempat kediaman iaitu Kluster Gombak dan Kluster Pangsapuri Cheras.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kedua-dua kluster itu adalah kluster berkaitan tempat kediaman di kawasan Selangor dan Kuala Lumpur:

Beliau berkata, Kluster Gombak yang dilaporkan 18 Mei lalu adalah hasil daripada aktiviti pengesanan kes secara aktif kes positif Covid-19 di sebuah kuarters kediaman di Gombak.

"Bagi Kluster Gombak, sehingga 4 Julai (semalam), seramai 200 orang sudah disaring dan didapati lima kes yang positif Covid-19. Kluster ini membabitkan semua warga Malaysia.

"Kluster Pangsapuri Cheras pula dilaporkan 1 Jun lalu hasil daripada aktiviti pengesanan secara kes aktif kes positif Covid-19 di sebuah pangsapuri di Cheras.

Sehingga 4 Julai, seramai 144 orang disaring dan didapati lapan kes yang positif Covid-19. Kluster ini membabitkan satu kes positif warga Indonesia iaitu daripada tiga bukan warganegara yang disaring. Selebihnya adalah warga Malaysia," katanya dalam kenyataan media mengenai perkembangan Covid-19, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, kes pertama bagi kedua-dua kluster dikesan hasil saringan pelajar pusat tahfiz/maahad yang juga kumpulan sasar yang dikenal pasti berisiko tinggi.

"Ini adalah pendekatan tertumpu yang setakat ini membantu mengesan banyak kes Covid-19. Sukacita dimaklumkan, daripada siasatan dijalankan, didapati tiada kes positif Covid-19 yang lain daripada kedua-dua pusat tahfiz/maahad yang terbabit itu.

"KKM ingin mengucapkan syabas kepada semua pihak bekerjasama memberikan perkhidmatan masing-masing dalam segala aktiviti

pengesanan kes dan langkah pembendungan penularan jangkitan berkaitan kluster ini," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pihak KKM menyeru orang ramai terus kekal berwaspada dan amalkan nasihat kesihatan yang disarankan iaitu elakkan kawasan yang sesak, sempit dan mengelak bersembang atau bertutur dengan jarak yang dekat.

Katanya, orang ramai dinasihatkan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, sangat digalakkan memakai alat pelitup muka di tempat awam atau jika bergejala.

"Orang ramai juga dinasihatkan elak bersalaman atau bersentuhan, amalkan etika batuk dan bersin, dapatkan rawatan segera jika bergejala, duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung.

"Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh. Selain itu, ingatlah syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan," katanya.

Beliau berkata, KKM juga menasihatkan supaya penjarakan sosial diamalkan setiap masa iaitu sekurang-kurangnya satu meter.

Menurutnya, pihak KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah

pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 5, 2020 @ 6:37pm
    d