mutakhir

Lans Koperal berkonvoi maut motosikal terbabas

Oleh Hassan Omar

KONVOI motosikal disertai seorang anggota polis bersama tujuh rakannya berakhir dengan tragedi apabila mangsa maut selepas motosikal ditungganginya terbabas sebelum bertembung dengan lori sampah.

Dalam kejadian 11.15 pagi itu, motosikal Lans Koperal Mohd Zaini Mahat, 33, terbabas ketika melalui selekoh sebelum berlanggar dengan lori terbabit di Jalan Simpang Ampat-Lubok Cina di Kampung Brisu dekat Alor Gajah, Melaka.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa berkonvoi bersama rakannya dari pusat bandar raya Melaka ke Lubok Cina dengan melalui pekan Simpang Ampat.

Menurutnya, mangsa yang bertugas di Balai Polis Tengkera, Melaka Tengah dan rakannya dikatakan memulakan perjalanan pada 9.30 pagi.

"Ketika melalui jalan Simpang Ampat ke Lubok Cina di Kampung Brisu, mangsa dipercayai mencuba memotong motosikal lain di satu selekoh sebelum masuk ke laluan bertentangan.

"Mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar bahagian kiri hadapan lori yang datang dari arah Lubok Cina ke Brisu," katanya.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan mangsa parah di kepala, dada dan perut serta meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, pemandu lori berusia 26 tahun pula tidak cedera dan mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.

"Arwah meninggalkan seorang balu dan anak perempuan berusia lapan bulan serta kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: July 5, 2020 @ 6:46pm
d