mutakhir

Pasang bendera Malaysia cuba perdaya APMM [METROTV]

Oleh Zaid Salim

CUBAAN nelayan Vietnam melakukan penyamaran menggunakan nombor pendaftaran bot tempatan gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), semalam.

Malah, kumpulan nelayan terbabit juga dikesan memasang bendera Malaysia pada bot ketika melakukan pencerobohan.

Pengarah APMM Terengganu, Kepten Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, taktik nelayan warga asing itu dikesan apabila pihaknya menahan empat bot nelayan terbabit ketika sedang mencuri hasil laut di lokasi berbeza pada jarak 118 batu nautika hingga 123 batu nautika dari Kuala Terengganu.

Katanya, empat bot terbabit ditahan Kapal Maritim (KM) Langkawi dan KM Gemia yang sedang menjalankan Ops Iman serta Ops Naga Barat antara 3.30 petang hingga 4.30 petang.

"Anggota menahan seramai 47 tekong dan awak-awak berusia antara 17 hingga 57 tahun untuk tindakan lanjut.

"Kita merampas sebanyak 4.2 tan pelbagai ikan campur bermutu tinggi, ikan baja (lima tan), diesel (16,500 liter) dan peralatan menangkap ikan yang keseluruhannya bernilai RM4.5 juta.

"Pemeriksaan terhadap awak-awak dan tekong mendapati hanya empat daripadanya memiliki pasport Vietnam, manakala selebihnya tidak memiliki sebarang dokumen yang sah," katanya pada sidang media di Kuala Terengganu, hari ini.

Menurutnya, pihaknya percaya nelayan Vietnam itu beranggapan boleh 'terlepas' daripada pihak berkuasa Malaysia apabila menggunakan nombor bot tempatan.

"Keempat-empat bot terbabit ditahan kerana disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu dan mencurigakan serta tiada lesen yang sah.

"Bot berkenaan kemudian dibawa ke jeti APMM Terengganu untuk siasatan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1935, manakala kru disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Katanya, sepanjang minggu ini, pihaknya sudah menahan sebanyak sembilan bot nelayan Vietnam.

"APMM akan menyiasat untuk membongkar taktik penyamaran yang menggunakan nombor pendaftaran bot nelayan tempatan.

"Sekiranya siasatan mendapati wujud sindiket atau pembabitan nelayan tempatan atau pemilik bot maka tindakan tegas akan diambil.

"Kita juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran yang akan merugikan negara," katanya.

Disiarkan pada: July 5, 2020 @ 6:51pm
d