mutakhir

Tahan tiga lelaki, rampas dadah RM148,000

Oleh BERNAMA

POLIS menahan tiga lelaki dan merampas 12,800 biji pil yaba dan 203 gram dadah jenis syabu bernilai lebih RM148,000 dalam serbuan di Kota Bharu pada Rabu dan Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Pulau Panjang, Pengkalan Chepa, di sini, pada malam Rabu lalu, polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun dan menemukan 800 biji pil yaba bernilai RM8,300 disembunyikan di dalam kereta dipercayai milik suspek.

"Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Nimetazipam dan didapati memiliki pas sempadan Malaysia-Thailand," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, suspek turut mempunyai tiga rekod lampau membabitkan dadah dan direman tujuh hari bermula 2 Julai lalu bagi membantu siasatan.

Menurutnya, dalam serbuan kedua pada Khamis di sebuah rumah di Kampung Machang Limbat, Kota Bharu, dua lelaki berusia 27 dan 43 tahun ditahan selepas dipercayai terbabit dengan pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Katanya, dalam serbuan pada 6.30 petang itu, polis menemukan 203 gram syabu dan 12,000 biji pil yaba dianggarkan bernilai RM140,300, wang tunai RM10,000 dan menyita sebuah kereta Nissan Sylphy milik suspek.

"Kedua-dua suspek yang turut positif dadah methamphetamine dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah direman tujuh hari bermula 3 Julai lalu untuk siasatan," katanya.

Katanya, ketiga-tiga suspek berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori dan Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM15,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: July 5, 2020 @ 7:17pm
d