mutakhir

Pemancing temui mayat wanita terapung

Oleh Balqis Jazimah Zahari

MAYAT seorang wanita ditemui terapung di Sungai Kuala Kampar berdekatan jambatan dari Malim Nawar ke Tanjung Tualang di Kampar, petang hari ini.

Mayat mangsa yang belum dikenali identitinya itu ditemui penduduk kampung yang memancing berdekatan kawasan sungai berkenaan.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar, Mohd Hariry Kamarudin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis pada 6.10 petang yang memaklumkan berhubung kejadian dan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

"Setibanya jentera di lokasi kejadian anggota mendapati satu mangsa wanita terapung di tebing sungai dan maklumat mangsa tidak dapat dikenal pasti.

"Seterusnya anggota bertindak menggunakan tali dan strecher untuk membawa mangsa naik ke darat," katanya ketika dihubungi,hari ini.

Katanya, mayat berkenaan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pada 7.08 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

"Mangsa dibedah siasat, kita akan memberi maklumat lanjut nanti," katanya.

Disiarkan pada: July 5, 2020 @ 10:03pm
d