mutakhir

Sesat lebih 2 jam cari jalan pulang

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

EMPAT remaja lelaki berdepan detik cemas apabila tersesat di hutan ketika menggunakan jalan pintas sewaktu menuruni Bukit Larut, Taiping, petang hari ini.

Kesemua remaja berusia 14 dan 15 tahun itu melakukan aktiviti mendaki bukit itu, gagal menemui jalan keluar lalu menghubungi talian kecemasan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya dengan kekuatan sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 2.35 petang, dibantu enam anggota polis, dan tiga kakitangan pengurusan Bukit Larut.

Menurutnya, sepanjang pencarian mangsa sentiasa dapat dihubungi melalui telefon mengetahui lokasi sebenar dan keadaan mereka.

Katanya, dua mangsa berjaya dikesan pada 4.30 petang, disusuli dengan dua lagi mangsa yang dijumpai setengah jam kemudian.

"Berdasarkan keterangan yang diberi, mereka tersesat ketika menggunakan jalan pintas ketika menuruni bukit terbabit. Kesemua mereka selamat tanpa sebarang kecederaan serius.

"Ketika dijumpai mereka berada pada ketinggian kira-kira 120 meter dari paras laut. Mereka kemudiannya dibawa keluar melalui jalan denai hutan dan tiba di Pos Bukit Larut yang jalan utama 5.30 petang," katanya dalam kenyataan.

Katanya, kesemua mangsa kemudiannya diserahkan kepada kakitangan perubatan untuk tindakan selanjutnya.

Disiarkan pada: July 5, 2020 @ 11:30pm
d