mutakhir

Mohd Sharim janji beri khidmat terbaik

Oleh Asrol Awang

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Mohd Sharim Md Zin yang memenangi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini tekad memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau berkata, pengalaman enam tahun bersama Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun yang menjadi wakil rakyat selama empat penggal di DUN Chini banyak membantunya dalam meneruskan legasi itu.

Katanya, selain itu, sokongan padu daripada semua pihak terutama Barisan Nasional (BN) dan PAS juga memberi semangat dan inspirasi kepadanya untuk bertugas dengan cemerlang.

"Saya berterima kasih kepada Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi BN Pahang kerana memberi kata-kata semangat dan mahu saya berkhidmat dengan cemerlang seperti yang dilakukan Allahyarham.

"Sebagai wakil rakyat yang baharu, saya akan melakukan yang terbaik kepada penduduk DUN Chini yang memilih saya sebagai wakil mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Menteri Besar Pahang mengharapkan Mohd Sharim dapat meneruskan legasi perkhidmatan Allahyarham Abu Bakar.

Beliau mendoakan Mohd Sharim dapat menjalankan tugas sebagai wakil rakyat yang bertanggungjawab.

Sehubungan itu, Mohd Sharim berkata, misi utamanya ialah untuk menambah baik daripada segi perkhidmatan yang lebih kepada kepada mendekati rakyat.

Katanya, hubungan mesra antara generasi pertama, kedua dan ketiga akan menjadi perhatian selain memberi penekanan dalam soal pembangunan dan ekonomi.

"Sebagai wakil rakyat baharu, saya akan cuba mencari jalan penyelesaian terbaik sebaik menerima aduan dan soal kebajikan menjadi keutamaan

Dalam pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini yang diadakan kelmarin, Mohd Sharim menang dengan majoriti 12,650 selepas memperoleh 13,872 undi.

Pencabarnya dua calon Bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, meraih 1,222 undi dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, mendapat 137 undi, sekali gus hilang deposit masing-masing.

PRK DUN Chini diadakan susulan kematian Abu Bakar, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas, 7 Mei lalu.

Disiarkan pada: July 6, 2020 @ 2:19pm
d