mutakhir

Tolong jaga ma dan adik-adik

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

"ALONG tolong jaga ma dan adik-adik sekiranya abah tak balik semula ke bot ini selepas meminta bantuan." Demikian pesanan tekong bot, Hazahar Mat Sanishah, 48, kepada anak sulungnya, Muhamad Ikhwan, 27, yang bersamanya dalam insiden bot terbalik di perairan Kemasin, Bachok Isnin lalu.

Hazahar berkata, sebelum kejadian, kira-kira jam 7.45 malam ketika hendak menunaikan solat Maghrib, dia sudah dapat menduga akan berlaku ribut selepas melihat keadaan sekitar laut yang luar daripada kebiasaannya.

"Sebagai tekong bot yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun, saya sudah mengetahui selok belok keadaan di laut, namun kejadian yang berlaku Isnin lalu adalah luar kawalan.

"Ketika itu, apabila melihat keadaan sekitar laut yang luar biasa, saya meminta anak keempat, Muhamad Ikram (18) supaya melabuhkan sauh, namun disebabkan ribut kuat yang datang secara tiba-tiba menyebabkan tali sauh terputus.

"Saya berusaha mengimbangi bot yang ketika itu sedang terumbang ambing dilambung ombak dan berpesan kepada pemancing dan awak-awak supaya berlindung sebelum bot yang kami naiki terbalik," katanya

Terdahulu Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Othman Abdul Latiff menziarahi Hazahar dan Hasan Bakar di kediaman mereka di Kampung Kuala Besar, Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah LKIM Kelantan, Mastam Nodo, dan Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Kelantan, Ilias Hassan.

Dalam kunjungan berkenaan, Othman menyampaikan sumbangan kilat berjumlah RM1,000 seorang bagi meringankan beban mangsa selain turut menyampaikan makanan keperluan asas.

Hazahar berkata, keadaan laut bergelora menyebabkan botnya terbalik dan ada sebahagian daripada mereka tercampak ke dalam laut.

"Keadaan pada ketika itu sangat gelap dan selepas bot terbalik saya mencari dua anak yang ikut bersama memandangkan Ikram tidak pandai berenang dan dalam keadaan kelam kabut akhirnya mereka ditemui selamat.

"Dalam masa sama, saya mengarahkan pemancing dan awak-awak berkumpul dan berpaut kepada objek yang berada di sekeliling mereka sebelum saya berenang untuk mendapatkan bantuan daripada nelayan lain," katanya.

Bapa kepada lima anak ini berkata, dia berenang lebih sejam pada jarak empat batu nautika untuk mendapatkan bantuan dan berikutan keadaan yang sangat gelap selain laut yang bergelora menyukarkan nelayan lain untuk melihat kelibatnya di permukaan laut.

"Tidak beberapa lama kemudian, kenalan saya yang juga seorang nelayan dikenali sebagai Pok Jim mendengar suara jeritan meminta tolong dan lampu suluh dihalakan tepat pada muka dan kemudian seutas tali dilemparkan untuk menarik saya naik ke atas bot.

"Saya meminta Pok Jim mengemudi botnya untuk ke lokasi bot terbalik dan 12 daripada kami terselamat, bagaimanapun saya agak kesal kerana lapan lagi tidak dapat diselamatkan. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu perasaan saya pada ketika itu," katanya.

Dalam kejadian jam 8.30 malam Isnin lalu, bot yang dinaiki 20 individu termasuk pemancing dan awak-awak terbalik dipukul ribut menyebabkan sauh terputus sebelum dibadai ombak besar dan terbalik.

Susulan kejadian itu, 12 individu berjaya menyelamatkan diri dan lapan individu ditemui meninggal dunia iaitu Wan Aminuddin Wan Hussin, 63; Mohd Syafizam Daud, 43; Muhammad Zaki Muhamad Nordin, 32; Pok Ta berusia 50-an dan Shafiq Che Alim, 29, Harun Daud, 60; Che Wadi Bakar, 44, dan Arman Ismail, 43.

Difahamkan, bot terbabit dikatakan berlepas dari jeti Kuala Besar kira-kira jam 3 petang untuk tujuan memancing dan menyandat sotong.

Disiarkan pada: July 6, 2020 @ 2:22pm
d