mutakhir

Proses permohonan pensijilan halal akan dipermudahkan [METROTV]

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KESELURUHAN proses pensijilan halal di negara ini akan dipermudahkan bagi memastikan kelancaran permohonan daripada pihak pengusaha.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri berkata, sehubungan itu, pihaknya akan melihat semula keseluruhan proses berkenaan.

"Saya akan cuba untuk memudahkan pemprosesan ini bukan menyukarkannya lagi.

"Cuma kena menyempurnakan atau melengkapkan syaratnya. Sebab kita faham dalam situasi Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini sudah tentu akan menyukarkan.

"Itu (memudahkan proses) satu perkara yang saya ambil prihatin bersungguh-sungguh, tetapi wajib mengikut piawaian dan syarat yang kita boleh tengok dari semasa ke semasa," katanya pada sidang media selepas melancarkan Virtual Halal School (VHS) anjuran Pusat Kecemerlangan Halal Kolej Uniti (UHAC), Kuala Lumpur, hari ini.

Zulkifli berkata demikian mengulas mengenai tindakan segelintir pengusaha bukan Islam yang menyalah gunakan logo halal sewenang-wenangnya sehingga mengelirukan pengguna Islam.

Beliau berkata, orang ramai diminta untuk mendapatkan pengesahan logo halal dengan merujuk sumber sahih dari pihak berkuasa seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan negeri.

Menurutnya, beliau mahu pensijilan halal ini mempunyai standard dalam bentuk sistem yang sama supaya tidak bercanggah daripada hakikat sebenar.

"Oleh itu, kami akan melihat bukan sahaja daripada sudut pemprosesan sijil halal, tetapi secara keseluruhan sama ada memendekkan tempoh (pemprosesan) atau borangnya.

"Penelitian terhadap perkara ini sudah bermula, namun disebabkan kekangan PKP ada beberapa perkara tergendala, jadi kita perlukan masa.

"Ia akan dilakukan secara berperingkat dan kami sudah berjumpa dengan Jakim membincangkan perkara ini dan segala keputusan akan kami dimaklumkan kemudian," katanya.

Disiarkan pada: July 6, 2020 @ 2:40pm
d