mutakhir

Pemuda Negara aktif kongsi rezeki

Oleh Yusmizal Dolah Aling

BERKONGSI rezeki. Inisiatif murni itu diambil badan bukan kerajaan (NGO), Penggerak Komuniti Negara (PKN) dengan mengaktifkan program bantuan kepada golongan memerlukan.

Dikenali sebagai Kita Kongsi, ia adalah program sumbangan barangan keperluan sekitar Parlimen Putrajaya dengan konsep lawatan dari rumah ke rumah.

Ketua Pemuda Negara Parlimen Putrajaya Syahmi Sh Yahya berkata, selain menyampaikan sumbangan, ia memberi peluang kepada NGO itu mengenali penduduk setempat menerusi ziarah.

"Pemuda atau belia dapat memahami dan mendalami konsep sebenar di dalam 'berkongsi' apa yang kita ada kepada mereka yang memerlukan.

"Ia juga bagi melatih diri mengenai aspek kepimpinan, komunikasi, pengurusan serta pergaulan dua hala membabitkan masyarakat awam.

"Menerusi program itu, ahli Pemuda Negara Parlimen Putrajaya dan sebagai belia secara umumnya, kita dapat mengasah bakat dan kemahiran dalam diri bukan sekadar sebagai pelaksanaan program saja," katanya.

Semalam, kira-kira 100 keluarga sekitar Presint 16, Putrajaya menerima sumbangan berkenaan yang turut dihadiri beberapa kepimpinan NGO terbabit.

Katanya, sebagai sayap di bawah PKN, Pemuda Negara bukan saja aktif dalam program membabitkan golongan muda, tetapi juga meliputi hal ehwal kemasyarakatan.

"Kita yakin golongan belia dapat mengisi masa dengan pelbagai program bermanfaat, selain melengkapkan mereka menerusi pelbagai bentuk pengalaman berguna untuk masa depan," katanya.

Disiarkan pada: July 6, 2020 @ 2:46pm
d