mutakhir

Syarikat didenda RM60,000 sedia klinik tak berdaftar

Oleh Noorazura Abdul Rahman

SEBUAH syarikat didenda RM60,000 hari ini di Mahkamah Sesyen Alor Setar selepas didapati bersalah menyediakan perkhidmatan klinik perubatan swasta tidak berdaftar, tahun lalu.

Wakil syarikat Era Estetika (Alor Setar) Sdn Bhd membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu menyediakan klinik perubatan swasta tanpa didaftar mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 Akta (586).

Syarikat itu didakwa melakukan kesalahan itu di premis Klinik De Era di No 166, Jalan Kurung 2, Taman Bandar Baru Mergong, Alor Setar pada 15 Mei 2019 pada jam 10.50 pagi.

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta 586 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan, Dr Anwar Fazal Abu Bakar dan Nozaizeli Abu Samah, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Adwa Azfar dan Terry Ngan.

Disiarkan pada: July 6, 2020 @ 3:10pm
d