mutakhir

Mohon RM2 juta dalam RMK12 perkasakan Kesan [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

LEMBAGA Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memohon peruntukan tambahan RM2 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi memperkukuhkan Kumpulan Keselamatan Nelayan (Kesan).

Ketua Pengarahnya, Othman Abdul Latiff berkata, sejak ditubuhkan pada 2017, Kesan mempunyai 300 ahli di seluruh negara membabitkan pelbagai persatuan nelayan kawasan.

Katanya, peruntukan tambahan berkenaan adalah untuk keperluan Kesan ketika membantu pasukan keselamatan dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sekiranya berlaku tragedi di laut selain melatih lebih ramai nelayan menyertai Kesan.

"Menjelang 2021, kita mensasarkan untuk melatih 1,000 nelayan di seluruh negara menjadi ahli Kesan terlatih yang mana 89 Persatuan Nelayan Kawasan perlu melatih 10 ahli.

"Buat masa ini, ahli Kesan dilatih Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam memastikan mereka mempunyai pengetahuan dalam membantu pasukan keselamatan ketika terbabit dalam operasi SAR.

"Pasukan Kesan akan diberi latihan yang mencukupi dan mereka ini adalah sukarelawan yang tidak dibayar gaji dan khidmat mereka diperlukan apabila berlakunya tragedi," katanya.

Belia berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi salah seorang mangsa bot terbalik di perairan Kemasin, Bachok, Hazahar Mat Sanishah di rumahnya di Kampung Kuala Besar, Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah LKIM Kelantan, Mastam Nodo, dan Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Kelantan, Ilias Hassan.

Dalam kunjungan berkenaan, Othman menyampaikan sumbangan kilat berjumlah RM1,000 bagi meringankan beban mangsa selain turut menyampaikan makanan keperluan asas.

Othman berkata, Kesan ditubuhkan memandangkan nelayan mempunyai pengalaman ketika berada di lautan dan mereka akan bersama-sama dengan anggota keselamatan yang lain seperti JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika berlaku tragedi.

"Setiap kali berlakunya tragedi atau bencana, kita akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada pasukan Kesan yang menyertai operasi SAR untuk diesel, makanan dan peralatan menyelamat.

"Sehingga kini RM1.5 juta sudah diperuntukkan bagi memastikan nelayan yang menjadi sukarelawan Kesan mendapat latihan mencukupi selain bantuan petrol, makanan serta peralatan menyelamat lain setiap kali mereka turun membantu pihak berkuasa dalam operasi SAR di laut," katanya.

Mengulas lanjut, Othman berkata, dalam tragedi bot terbalik Isnin lalu, pihaknya akan menyalurkan bantuan kepada tekong bot, Hazahar Mat Sanishah berjumlah RM14,000 di bawah Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan untuk membaik pulih bot selain membeli peralatan.

Dalam perkembangan lain, Othman turut mengingatkan nelayan rekreasi agar sentiasa menitikberatkan soal keselamatan dan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan ketika berada di lautan.

"Keutamaan ini wajar diberikan perhatian serius bagi mengurangkan risiko berlakunya kejadian tidak diingini termasuk kehilangan nyawa," katanya.

Disiarkan pada: July 6, 2020 @ 4:30pm
d