mutakhir

KPLB bantu MCMC naik taraf kemudahan internet luar bandar

Oleh Rafiqah Dahali

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar akan membantu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia ( MCMC ) menguruskan dana untuk menaik taraf kemudahan internet di kawasan luar bandar.

Menterinya, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata pihaknya mengadakan pertemuan bersama MCMC dan syarikat telekomunikasi, Telekom Malaysia Bhd (TM) bagi membincangkan mengenai perkara tersebut, baru-baru ini.

"Di peringkat kementerian, saya adakan pertemuan dengan pengerusi Telekom Malaysia Bhd (TM) Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan juga pengerusi MCMC Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek pada tiga minggu lalu berkenaan hal ini.

"Sebelum ini KPLB jaga fasiliti seperti api, air dan jalan raya dan kita mahu tambah kemudahan seperti internet untuk kita uruskan.

"Kita lebih tahu dan arif di mana tempat (kawasan luar bandar dan kampung) yang memerlukan capaian internet.

"Oleh itu, bila MCMC ada peruntukan, bagi dengan KPLB dan kita akan bantu uruskan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Penyampaian Sijil Penghargaan Kepada Sukarelawan Penyedia Personel Protection Equipment ( PPE ) Kemas Sabah untuk Petugas Barisan Hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia bertempat di Tabika Kemas Kampung Muhibbah, Beaufort, pagi tadi.

Turut hadir, Ketua Pengarah KEMAS Malaysia Datuk Mohammad Yasid Bidin, Pengarah Kemas Sabah Sharulnizam Jantan dan Pengarah KPLB Persekutuan Negeri Sabah Hamsha Injau.

Selain itu, turut hadir Ahli Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun, Adun Klias Isnin Aliasnih, Adun Kuala Penyu Limus Jury, Adun Lumadan Matbali Musah dan Adun Sugut James Ratib.

Beliau turut mengulas KPLB berdepan halangan isu tapak tanah bermasalah bagi membaik taraf pembinaan infrastruktur dan kemudahan tadika Kemas terutamanya di kawasan luar bandar.

"Kita tidak boleh membina kemudahan yang baik apabila masalah status tanah belum selesai.

"Ada kemudahan dan fasiliti yang teruk tetapi kita tidak boleh naik taraf tanpa mengikut prosedur.

"Jika pihak kita teruskan pembinaan dan menggunakan duit pembayar cukai, kita pula yang akan dipersoalkan oleh pihak audit," katanya.

Disiarkan pada: July 6, 2020 @ 5:10pm
d