mutakhir

KASA peruntuk RM15 juta tangani hakisan Pantai Rusila [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air (KASA) memperuntukkan RM15 juta bagi menyelesaikan isu hakisan di sepanjang enam kilometer di Pantai Rusila, Marang.

Menterinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kementerian sudah memulakan proses penyuburan pantai iaitu menambak balik kawasan persisiran pantai dengan pasir.

Katanya, projek penyelesaian jangka pendek itu dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

"Bagi penyelesaian jangka panjang iaitu dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), projek yang lebih menyeluruh akan dilaksanakan berdasarkan kajian Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu.

"Antara komponen utama struktur projek ini adalah pembinaan struktur pemecah ombak dengan kos dianggarkan sehingga RM150 juta.

"Selain itu, beberapa strategi dan kajian juga sedang dirangka untuk mengatasi masalah hakisan pantai yang sering berlaku di Terengganu termasuk Pantai Teluk Lipat di Dungun," katanya ketika ditemui pada lawatan kerja Menteri KASA ke Terengganu di Pantai Rusila, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.

Tuan Ibrahim berkata, kerajaan persekutuan melalui RMK-11, turut memperuntukkan sebanyak RM1.762 bilion kepada negeri Terengganu untuk sektor alam sekitar dan air.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak RM162.6 juta diperuntukkan untuk sektor alam sekitar dan RM1.599 bilion untuk sektor air di bawah Rolling Plan (RP4) RMK-11 di Terengganu.

Disiarkan pada: July 6, 2020 @ 5:21pm
d