mutakhir

Lelaki ditemukan maut akibat renjatan elektrik di kepala

Oleh Nur Izzati Mohamad

LELAKI ditemukan maut akibat renjatan wayar elektrik di kepala di sebuah kompleks di Tasek Gelugor pagi tadi.

Mayat lelaki berusia 39 tahun itu ditemukan orang awam pada 9 pagi ketika melalui kawasan berkenaan sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan awal di lokasi mendapati mayat dalam keadaan terbaring dengan wayar yang disambungkan ke sumber elektrik berada di kepalanya.

"Turut ditemukan sebuah tangga dan spanar di tempat kejadian.

"Siasatan lanjut tidak menemui sebarang unsur jenayah pada mayat berkenaan dan kes dikaitkan sebagai mati mengejut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorzainy berkata, polis meminta bantuan daripada anggota bomba dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mematikan aliran elektrik berkenaan.

"Maklumat daripada ahli keluarga mendapati lelaki itu bekas juruelektrik di Kuala Lumpur dan mengalami masalah mental sejak tiga tahun lalu.

"Lelaki berkenaan pernah mendapat rawatan di Hospital Bukit Mertajam (HBM) dan sehingga kini masih bergantung dengan ubat," katanya.

Menurutnya, keluarga memaklumkan lelaki itu keluar rumah sekitar jam 10 malam tadi sebelum terkejut dimaklumkan mengenai penemuan mayatnya hari ini.

Disiarkan pada: July 6, 2020 @ 6:00pm
d