mutakhir

Syarikat didenda RM2,500 jual hasil tembakau 'online'

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

SEBUAH syarikat didakwa atas kesalahan menjual hasil tembakau secara dalam talian mengikut Peraturan 10A (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, 1 Julai lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pendakwaan itu dijalankan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan pemantauan berterusan penjualan hasil tembakau secara dalam talian.

Menurutnya, susulan daripada pemantauan itu, siasatan dan penguatkuasaan dijalankan Sektor Inspektorat dan Perundangan, Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam dan mendapati syarikat berkenaan menjual hasil tembakau pelbagai jenama dengan harga serendah RM20.

"Kes ini didakwa di Mahkamah Majistret Putrajaya atas kesalahan penjualan rokok secara dalam talian dan penjualan dijalankan tertuduh bukan saja menyalahi undang-undang malah menyebabkan hasrat kerajaan untuk menyekat kebolehdapatan hasil tembakau terutama kepada golongan remaja di bawah 18 tahun terhalang.

"Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,500 atau penjara setahun selepas tertuduh mengaku bersalah," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, hukuman ini adalah pengajaran kepada tertuduh dan orang lain supaya tidak tidak melakukan kesalahan sama dan KKM komited dalam membanteras penjualan hasil tembakau atas talian.

Katanya, pemantauan berterusan dari semasa ke semasa juga akan terus dijalankan dan diperketatkan terutama ketika negara menghadapi pandemik Covid-19 kerana penjualan secara dalam talian menjadi pilihan utama pelanggan.

"Diharapkan hukuman ini memberikan pengajaran dan menjual hasil tembakau atas talian perlu dikawal agar orang ramai khususnya remaja tidak dapat membeli atau memiliki hasil tembakau dengan mudah dan memberi ruang untuk kebolehdapatan rokok yang menjadi punca gejala merokok masih berlaku dalam kalangan remaja," katanya.

Disiarkan pada: July 6, 2020 @ 7:04pm
d