mutakhir

CUEPACS minta timbang cuti sekolah sempena Aidiladha

Oleh Amir Mamat

KEMENTERIAN Pendidikan diminta mempertimbangkan semula tarikh cuti persekolahan sempena Aidiladha yang akan disambut pada 31 Julai ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Adnan Mat berkata, ia penting bagi membolehkan penjawat awam terutama yang bertugas di perantauan dapat menyambutnya di kampung halaman masing-masing.

Beliau berkata, CUEPACS menerima aduan terdapat ramai penjawat awam serta pekerja di sektor swasta bekerja di Sabah dan Sarawak sudah menempah tiket penerbangan mereka lebih awal untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sempena perayaan berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, CUEPACS mencadangkan supaya 30 Julai dan 3 Ogos depan dijadikan cuti khas dan cuti pelepasan untuk perayaan Aidiladha.

"Pemberian cuti khas serta cuti pelepasan ini juga memberi sedikit kelegaan kepada orang ramai, penjawat awam dan guru yang bergantung sepenuhnya kepada cuti persekolahan untuk bercuti terutama bagi yang mempunyai anak bersekolah.

"Begitu juga penjawat awam dan pekerja sektor swasta yang berasal dari Sabah dan Sarawak tetapi bekerja di Semenanjung.

"Tempahan awal tiket penerbangan itu mereka terpaksa buat bagi membolehkan mereka menikmati harga yang lebih murah berbanding tempahan pada saat akhir," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Adnan sebelum itu mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Pejabat Tuan Yang Terutama dan Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali di Seri Negeri, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, kebanyakan rakyat Malaysia sebelum ini tidak dapat meraikan Aidilfitri di kampung susulan sekatan perjalanan merentas negeri ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"CUEPACS difahamkan sebelum ini juga Kementerian Pendidikan tidak bercadang untuk meminda takwim persekolahan dan bercadang untuk menggunakan takwim lama.

"Bagaimanapun secara tiba-tiba kementerian terbabit memperkenalkan takwim yang baharu dan kebanyakan rakyat Malaysia terutama mereka yang tinggal jauh dari kampung halaman masing-masing sudah melakukan perancangan lebih awal berdasarkan cuti persekolahan negara," katanya.

Menurutnya, perubahan takwim persekolahan itu sudah pasti menyebabkan perancangan golongan terbabit terkesan.

"Sebab itu kami benar-benar berharap Kementerian Pendidikan dapat mempertimbangkan memberi cuti khas persekolahan bagi perayaan Aidiladha tahun ini," katanya.

Disiarkan pada: July 6, 2020 @ 7:19pm
d