mutakhir

Tiga beranak ditahan tipu tuntutan Perkeso

Oleh Muhammad Yusri Muzamir

SUAMI isteri dan anak perempuan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki mendalangi tuntutan palsu bernilai lebih RM1 juta.

Tiga beranak berusia 35 hingga 67 tahun itu ditahan selepas memberi keterangan di SPRM Putrajaya, kira-kira 2.15 petang hari ini.

Sumber berkata, ketiga-tiga suspek dipercayai menjadi dalang untuk membuat tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Katanya, semua suspek disyaki bertindak sebagai ejen sindiket pemalsuan laporan perubatan Orang Berinsuran (OB) dalam kalangan pencarum Perkeso yang membuat permohonan tuntutan hilang upaya sementara atau kekal dan pencen ilat.

"Laporan perubatan dikemukakan mana-mana pemohon dipercayai mempunyai maklumat palsu bagi membolehkan bayaran pampasan dibuat Perkeso, selain pemohon perlu membayar sejumlah wang kepada ejen terbabit selepas memperoleh pampasan.

"Difahamkan, kesalahan terbabit dilakukan antara 2015 hingga 2018 dengan membabitkan nilai pampasan lebih RM1 juta," katanya kepada BH, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya (KPKPj) Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. Mereka dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk mendapatkan perintah permohonan reman, esok," katanya.

Disiarkan pada: July 6, 2020 @ 7:39pm
d