mutakhir

Kajian ketum menahan kesakitan

Oleh Zuhainy Zulkiffli

SEKUMPULAN saintis Universiti Sains Malaysia (USM) dan Yale School of Medicine, Connecticut, Amerika Syarikat sedang menjalankan kajian bagi menilai secara kritikal kesan ketum dalam menahan kesakitan.

Kajian terkawal itu diketuai oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan (CDR) USM, Profesor Dr Vicknasingam dan Profesor Dr Marek C Chawarski dari Yale School of Medicine, membabitkan 26 sukarelawan.

Menurut Vicknasingam, hasil keputusan kajian itu mendapati bahawa ketum mampu digunakan dalam meningkatkan ketahanan terhadap rasa sakit, namun kajian yang lebih mendalam mengenai kemampuan serta profil keselamatannya masih diperlukan.

Katanya, penemuan itu turut diterbitkan dalam 'Yale Journal of Biology and Medicine' (YJBM) keluaran Jun 2020, memaparkan bukti yang dinilai secara objektif berikutan hasil kajian ke atas subjek manusia buat pertama kalinya.

"Ia memberikan pengesahan atau sokongan awal berkaitan kemampuan ketum menahan kesakitan, yang sebelum ini hanya dilaporkan secara anekdotal berdasarkan pengalaman sendiri melalui kajian secara pemerhatian.

"Usaha kolaborasi dengan Yale University sejak sekian lama memberi peluang unik kepada CDR bagi memajukan usaha penyelidikan ke arah mengetengahkan kegunaan ketum daripada segi perubatan," katanya kepada NSTP, hari ini.

Ketum atau 'kratom' dengan nama saintifiknya Mitragyna speciosa sudah lama digunakan dalam amalan perubatan tradisional di Asia Tenggara dan menjadi semakin popular di Amerika Syarikat serta di serata dunia.

Selain daripada dakwaan adanya kesan terapeutik, isu berkaitan ketoksikan serta insiden membawa maut yang dilaporkan dikaitkan dengan hasil produk daripada ketum, unsur ketagihan atau kandungan aktifnya, kerap diperdebatkan dalam kalangan komuniti saintifik.

Walaupun ketum digunakan di Malaysia lebih daripada satu abad, penyalahgunaannya secara meluas menggesa pihak kerajaan bagi mencadangkan pindaan pada Akta Racun 1952 selain memperkenalkan langkah ketat dalam mengawal penanaman, penghasilan, pengedaran serta penggunaan ketum menerusi undang-undang serta hukuman yang lebih berat.

Mengulas lanjut Vicknasingam berkata, pada masa ini, kajian terkawal yang lebih menyeluruh terhadap ubat-ubatan berasaskan tumbuhan masih ketinggalan berbanding kajian farmaseutikal tradisional serta usaha ke arah penghasilan ubat sintetik baharu.

Katanya, kajian perubatan berasaskan tumbuh-tumbuhan terhad akibat ketiadaan kaedah saintifik yang sesuai, kekurangan peruntukan, serta tiada penemuan yang berpotensi.

Malah CDR juga sudah menjalankan penyelidikan berkaitan ketum lebih dari sedekad lalu dan menjadi pelopor dalam bidang itu dengan lebih 80 kertas saintifik diterbitkan berkaitan ketum atau kandungan aktifnya.

"CDR menerima peruntukan dari Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah Program Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) bagi melaksanakan penyelidikan berkaitan ketum.

"Kini CDR sedang meneliti pelbagai model penyelidikan dan perkembangan komersil dalam usaha memajukan asas dan penemuan saintifik ke arah kaedah perubatan atau rawatan intervensi berasaskan ketum," katanya.

Dilaporkan bahawa National Institute of Health (NIH), Amerika Syarikat juga berminat dalam memberi sokongan terhadap penyelidikan berkaitan ketum dan sehingga kini sudah memberi peruntukan kepada universiti di negara berkenaan bagi melaksanakan pelbagai kajian menyeluruh.

Disiarkan pada: July 6, 2020 @ 7:55pm
d