mutakhir

Dua majikan didenda RM18,000 benarkan warga asing berada di premis

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

DUA majikan masing-masing didenda RM18,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan membenarkan warga asing tanpa permit berada di premis mereka.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh, Lim Un Chai, 54, dan Hazrul Idham Hamzah, 33, dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan dibuat Hakim Nooriah Osman selepas mereka mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63(Akta 155) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55E (2) akta yang sama.

Lim didakwa membenarkan tiga pendatang asing tanpa izin (Pati) Indonesia masuk atau tinggal di dalam premisnya di sebuah kuari di Kampung Bukit Tadok, Hulu Terengganu, jam 12.50 tengah hari pada 15 Januari lalu.

Manakala, Hazrul Idham didakwa membenarkan tiga Pati iaitu dua warga Bangladesh dan seorang warga Indonesia untuk masuk atau tinggal di dalam premisnya di sebuah tapak pembinaan di Kampung Tajin, Mukim Kuala Berang, Hulu Terengganu, jam 11.05 pagi pada 11 Februari lalu.

Sejurus pengakuan bersalah mereka direkodkan, Nooriah menjatuhkan hukuman denda RM6,000 bagi setiap Pati yang berada di premis mereka.

Pendakwaan kedua-dua pertuduhan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Terengganu, Noraznie Alias manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: July 6, 2020 @ 8:58pm
d