mutakhir

Berulang kali ingkar SOP

Oleh Zuliaty Zulkiffli

SEBANYAK 40 kompaun dikeluarkan terhadap individu dan premis yang melakukan perlanggaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di daerah Alor Setar.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, ia membabitkan kesalahan melepak di kedai makan tanpa mengamalkan penjarakan sosial, tidak menyediakan pemeriksaan suhu badan di premis dan prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan juga mendapati ada premis yang dikesan melakukan kesalahan berulang.

"Kita sudah membuat permohonan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya menutup premis berkenaan dan kita percaya pihak PBT hanya memberi nasihat.

"Berikutan itu kami memberi kompaun maksimum RM1,000 kepada premis atau individu yang didapati melanggar PKPP," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, hari ini.

Mohd Redzuan berkata, pihaknya akan meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa untuk memastikan orang ramai mengamalkan SOP.

Beliau berkata, mereka yang melanggar peraturan itu akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

"Kompaun RM1,000 dikenakan atau enam bulan penjara terhadap setiap individu dan kompaun perlu dijelaskan dalam tempoh 14 hari.

"Sehubungan itu, kita nasihatkan orang ramai supaya mematuhi penjarakan sosial manakala premis pula menyediakan tanda jarak bagi mengelakkan tindakan diambil," katanya.

Disiarkan pada: July 6, 2020 @ 9:14pm
d