mutakhir

'Tahun ini agak kerap durian dicuri'

Oleh Zuliaty Zulkiffli

HARGA durian yang tinggi ketika ini menyebabkan pemilik dusun di Kuala Nerang terpaksa memasang pagar tambahan dan kawat duri bagi mengelak buah dicuri.

Abd Hamid Shaari, 64, berkata, pokok durian di dusun miliknya di Charuk Ayun, Pedu seluas satu hektar mengeluarkan hasil agak luar biasa sehingga menarik perhatian banyak 'tetamu tidak diundang.'

"Masalah durian dicuri memang berlaku setiap tahun tetapi tahun ini berlaku agak kerap berikutan harga durian yang melambung tinggi terutamanya yang berkualiti tinggi.

"Keadaan ini menyebabkan saya terpaksa tidur di pondok yang dibina di kawasan dusun agar mudah memantau kawasan dan mengutip durian yang luruh," katanya ketika ditemui.

Abd Hamid berkata, walaupun kebunya sudah dipagar sebelum ini, dia terpaksa mengeluarkan belanja sekali lagi bagi membina pagar baharu lengkap kawat duri.

"Dusun ini saya usahakan sejak hampir 40 tahun lalu dan memberi rezeki kepada kami sekeluarga apabila tiba musim buah.

"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan baru-baru ini, kes kecurian memang tidak ada, tetapi monyet dan babi hutan banyak merosakkan buah," katanya.

Bagi pemilik dusun di Kampung Padang Sanai, Ismail Hashim, 66, berkata, kes kecurian durian sentiasa berlaku setiap kali musim buah.

Katanya, dia terpaksa memasang perangkap sekitar dusun miliknya kerana bimbang ada individu masuk mencuri durian dan buah-buahan lain.

"Kalau pencuri ambil selonggok pun cukup lumayan kerana harga durian kini mencecah antara RM20 hingga RM30 satu kilogram di pasaran luar," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Padang Terap, Asisten Superintendan Safuan Abd Rashid ketika dihubungi, memaklumkan tidak menerima sebarang laporan berhubung kecurian durian, namun tidak menolak ia berlaku.

Disiarkan pada: July 7, 2020 @ 12:47pm
d