mutakhir

Mohon pinda wang, akaun bank bapa Jho Low [METROTV]

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

PENDAKWA Raya memohon untuk meminda jumlah wang dan nama bank milik Tan Sri Larry Low Hock Peng, iaitu bapa ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low yang kini sudah dilucut hak kepada kerajaan.

Difahamkan kerajaan belum mendapatkan pemilikan wang berkenaan yang sebelum ini dianggarkan lebih RM48 juta, dirampas daripada tujuh akaun bank Hock Peng.

Hock Peng dan isterinya Goh Gaik Ewe serta keluarganya, juga kini dalam buruan polis dan dikehendaki bagi membantu siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nuzul Azuar Zulkifli ketika ditemui pemberita berkata, beliau memohon lanjutan masa untuk memfailkan hujahan bagi permohonan meminda notis lucut hak terbabit.

Katanya, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan menetapkan pada 24 Julai ini bagi mendengar hujahan permohonan untuk meminda notis berkenaan.

Pada 19 Julai tahun lalu, Mohamed Zaini memerintahkan wang yang disita daripada Hock Peng dilucut hak kepada kerajaan selepas tiada pihak ketiga hadir bagi membuat tuntutan.

Wang yang dibekukan oleh pihak berkuasa dalam akaun Hock Peng dipercayai sebahagian daripada siasatan 1MDB.

Tujuh akaun milik bapa Jho Low atau Low Taek Jho adalah daripada bank RHB dan Maybank Berhad (MBB) masing-masing di KLCC, Kuala Lumpur dan Plaza Gurney, Pulau Pinang.

Harta terbabit adalah wang berjumlah RM20,784,952.56 dengan faedah dalam akaun semasa atas nama Hock Peng (Responden) di RHB yang disita pada 11 Disember 2018.

Tiga lagi akaun RHB masing-masing berserta faedah, membabitkan wang berjumlah RM300,000; RM500,000 dan RM20 juta.

Bagi akaun MBB jumlah yang terbabit termasuk faedah ialah RM6,613,970.78, RM462,618.38 dan RM318,021.95.

Semua akaun itu adalah akaun simpanan tetap dan semasa yang disita pada Disember 2018 dan 31 Januari 2019.

Disiarkan pada: July 7, 2020 @ 1:06pm
d