mutakhir

3 Pati hilang di perairan Tanjung Adang

Oleh Nurul Amanina Suhaini

TIGA pendatang asing tanpa izin (Pati) dipercayai warga Indonesia hilang selepas bot dinaiki terbalik ketika cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa di perairan Tanjung Adang, Gelang Patah pagi ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, pihaknya mengesan sebuah bot mencurigakan di sekitar Tanjung Adang kira-kira 12 tengah malam.

Katanya, bagaimanapun bot membawa lima Pati termasuk tekong warga Indonesia itu terbalik kira-kira jam 1.45 pagi ketika cuba melarikan diri daripada ditahan bot ronda agensi itu yang sedang melaksanakan Op Benteng di perairan Tanjung Piai.

"Menyedari kehadiran bot ronda APMM, tekong memecut bot bagi meloloskan diri namun bot itu terbalik di kedudukan 4.3 batu nautika tenggara Tanjung Piai.

"Seorang lelaki dipercayai tekong bot warga Indonesia berjaya diselamatkan dan ditahan, manakala pencarian di kawasan bot terbalik tidak menemui mangsa yang lain.

"Pada masa sama, Pusat Menyelamat Maritim Johor Bahru (MRSC-JB) menerima makluman daripada Lembaga Pelabuhan Johor mengenai sebuah Kapal Dagang (MT SMF IXORA) yang menyelamatkan seorang wanita dewasa dipercayai Pati warga Indonesia yang jatuh laut berhampiran kapal terbabit bersauh iaitu kira-kira 4.5 batu nautika timur Tanjung Piai.

"Berdasarkan maklumat awal, tiga lagi rakan mangsa yang terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki dipercayai turut sama terjatuh ke laut di sekitar lokasi yang sama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, koordinasi SAR oleh MRSC-JB bagi mencari tiga mangsa hilang membabitkan sebuah kapal dan empat bot daripada Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

"Keluasan sektor pencarian meliputi 40 batu nautika persegi di sekitar perairan Tanjung Piai dan Tanjung Bin, Kukup, Johor.

"Selain itu, maklumat pencarian juga disalurkan kepada Komuniti Maritim terutamanya kapal-kapal dagang yang berada serta melalui kawasan terbabit.

Katanya, sebarang maklumat mengenai penemuan mangsa yang terbabit boleh disalurkan kepada Pusat Maritim Negeri Johor (07-219 9404).

Disiarkan pada: July 7, 2020 @ 1:16pm
d