mutakhir

Ahmad Zahid tarik balik rayuan

Oleh BERNAMA

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mencabar dari segi perlembagaan berhubung dua akta membabitkan penerimaan bukti dokumen bagi tuduhan yang dihadapinya.

Akta berkenaan ialah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said bahawa pihaknya menarik balik permohonan itu.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah P. Ravinthran dan Datuk Nordin Hassan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi berkata, pihak pendakwaan tidak membantah mengenai perkara itu.

Hakim Kamaludin kemudiannya, membatalkan permohonan itu yang sepatutnya dijadualkan didengar hari ini.

Ketika ditemui selepas prosiding, Hisyam memberitahu media bahawa beliau mengemukakan notis pembatalan rayuan pada 2 Julai lepas dan memaklumkan tiada alasan bagi penarikan tersebut.

Pada 18 Nov 2019, Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan bekas timbalan perdana menteri itu untuk mencabar perlembagaan dalam Seksyen 41A Akta SPRM dan Seksyen 71 AMLA, atas alasan permohonan itu pramatang kerana perbicaraan masih belum bermula.

Ahmad Zahid, 67 yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk, menghadapi 47 pertuduhan, 12 daripadanya adalah pecah amanah (CBT), lapan untuk rasuah dan 27 untuk pengubahan wang haram yang membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah

Disiarkan pada: July 7, 2020 @ 1:31pm
d