mutakhir

Padah hasilkan pembasmi kuman tiruan

Oleh Norsyazwani Nasri

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak menyerbu sebuah rumah di Batu 3, Kuching Khamis lalu yang disyaki membekal dan menjual cecair pembasmi kuman tiruan.

Pengarah KPDNHEP Sarawak, Datuk Stanley Tan berkata, serbuan jam 12 tengah hari itu susulan risikan selama dua bulan pegawai penguat kuasa bersama pemilik cap dagangan.

"Serbuan merampas 11 botol lima liter, 21 botol 1 liter, 10 botol 0.1 liter dan tiga tong berisi 10 liter cecair pembasmi kuman membabitkan nilai keseluruhan RM4,140," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek menjalankan aktiviti pembancuhan dan pembungkusan semula menggunakan cap dagangan berdaftar.

"Kes ini disiasat lanjut di bawah Seksyen 102, Akta Cap Dagangan 2019," katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP dengan kerjasama pemilik cap dagangan berdaftar akan sentiasa dan berterusan memantau, menjalankan pemeriksaan dan mengambil tindakan tegas dari semasa ke semasa untuk menangani produk-produk tiruan di pasaran.

Disiarkan pada: July 7, 2020 @ 1:46pm
d